Saturday, June 6, 2009

ProbLEm ke UjiAN nih???


Masalah? Jika ditanya kepada kanak-kanak tentang perkataan ini mereka tidak tahu menjawabnya. Jika ditanya pula kepada kanak-kanak yang sedikit dewasa, jawapan yang diberi mereka mungkin hanya masalah si A tidak mahu berkawan dengan si B, atau si C menangis tidak dipedulikan oleh rakan-rakan, kemudian mengadu pada ummi dan abah. Pada masa itu mereka akan menganggap merekalah yang menanggung masalah paling besar dalam dunia ini. Mereka perlu diberi perhatian, perlu dipujuk, perlu dibelai. Yalah sudahlah mempunyai masalah, kemudian tidak dipedulikan pula oleh ibu bapa sendiri. Hai pandainya si kecil bermonolog sendirian....

Setelah melonjak remaja pula, jika soalan ini diajukan, sudah tentu masalah yang mungkin sarat mereka tanggungi ialah masalah cinta.
“I rindu you..you rindu I tak?? I sayang you, you sayang I tak??”
Beberapa bulan kemudian perkataan yang mungkin keluar..
“Tolong aku Rin, aku ada masalah besar. Aku tak sangka dia macam tu. Dasar buaya darat”..
Masalah-masalah inilah yang biasanya difikirkan oleh golongan remaja. Pada ketika itu juga mereka akan memikirkan merekalah yang menanggung masalah yang paling berat. Bawa lori sepuluh tan pun mungkin lebih ringan daripada masalah yang melanda. Berat, terlalu berat. Bagi orang yang tiada pendidikan agama, langkah yang mungkin di ambil ialah menelan berbiji-biji pil. Yalah, “lebih baik aku mati daripada menanggung segala beban masalah ini.”
Hal ini tidak kurang juga boleh dilihat apabila kita masih belajar. Apabila masih di sekolah rendah, soalan-soalan yang diberikan oleh guru terasa sangat susahnya. Seolah-oleh seperti mendapat “the most difficult question in the world”. Tetapi setelah melangkah ke sekolah menengah kita akan merasakan segala yang dipelajari di sekolah rendah “kacang jer”. Mudah. Jadi di kala itu kita mungkin baru tersedar bahawa segala yang dipelajari sebelum ini tidaklah sesusah mana. Masalah yang ditanggung tidaklah seberat mana.

Seterusnya apabila bergelar ibu bapa-bapa, masalah yang mungkin seringkali dibincangkan adalah tentang kenaikan harga minyak, beras dan sebagainya. Bagi kalangan golongan berada pula kebahagiaan keluarga yang sering dipertikaikan dan mengganggu fikiran. Lebihan duit yang diperoleh oleh ibu bapa yang bekerja disalahgunakan oleh anak-anak dengan menagih dadah, lumba haram, kelab malam dan lain-lain. Segala gejala ini boleh membawa kepada sifat anak yang tidak menghormati ibu bapa seterusnya memberi impak buruk kepada institusi kekeluargaan itu sendiri.

Demikianlah masalah-masalah yang sering melanda umat manusia dari generasi ke generasi. Dari kanak-kanak sehinggalah golongan tua. masing-masing dengan ruang lingkup masalah tersendiri. Persoalan yang ingin dibangkitkan di sini, benarkah itu adalah masalah? Mengapa perlu ada untuk setiap generasi?
Mengapa perlu wujud tika diri ini masih kecil? Aku masih kecil, mengapa aku harus menghadapi masalah sebegini berat? Aku masih ingat kata-kata ustazah.. “Allah itu Maha Pengasih”. Tetapi sekarang, jika Allah Maha Pengasih, mengapa diberikan aku masalah seperti ini. Masalah dipulaukan oleh kawan-kawan.. Huh! Ujian yang amat berat untuk aku tanggungi. Ah!! Ustazah bohong!!

Persoalan ini yang berkemungkinan timbul dalam kalangan si kecil kita. Begitu juga seterusnya remaja, belia (ibu bapa) dan yang terakhir golongan tua. Ada sahaja persoalan yang dipersoalkan dan dipertikaikan apabila masalah melanda. Tidak kira bangsa, mahupun usia.

Mari kita lihat semula hakikatnya, renung kembali sedalamnya tiap-tiap masalah yang dihadapi. Seandainya segala masalah ini dianggap sebagai ujian, batu loncatan untuk kita menjadi lebih baik, segala masalah ini kita dapat hadapinya dengan tenang dan damai. Benar, sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui. Dia tahu setiap apa yang diberikanNya untuk setiap hambaNya. Dia mendengar setiap rintihan khalifahNya. Dia pemurah dalam melimpahkan rezeki kepada sekalian ciptaanNya. Dia pengasih memperkenankan keinginan yang diingini oleh manusia. Dia lembut dalam menghilangkan kedukaan yang dialami oleh si pendukacita.

Jadi terimalah setiap masalah itu sebagai rezeki dariNya. Anggaplah masalah itu sebagai ujian dariNya. Ujian yang mahukan kita menjadi lebih baik dari semalam. Dari generasi ke generasi, Allah SWT memberikan satu persatu masalah, (atau disini kita sebutkan sebagai ujian), mengikut kemampuan hambaNya untuk menanggung masalah tersebut. Ini jelas disebut oleh Allah SWT dalam firmanNya dalam suratul Baqarah ayat 286. Allah berfirman..
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya...”
Oleh itu, usah dianggap masalah itu sebagai sesuatu yang membebankan. Sebaliknya terimalah ujian itu dengan hati yang terbuka dan tenang.:-)

* * *

No comments:

Post a Comment